>>> tips bertudung

Bertudung bukanlah satu alasan yang menghalang wanita untuk tampil bergaya. Namun penampilan bertudung perlulah sesuai dengan fesyen dan tidak terkeluar daripada niat menutup aurat.

Berikut merupakan beberapa panduan yang boleh anda gunakan untuk penampilan yang lebih menarik dan moden.

Cara pemakaian
Cara pemakaian atau lilitan tudung merupakan antara faktor penting untuk menjadikan tudung nampak menarik. Asas yang penting di dalam pemakaian tudung adalah anak tudung yang akan membentuk tudung yang dipakai.

Carilah tudung daripada jenis kain yang mudah dibentuk ketika memakainya seperti kain kapas dan kain bawal yang sesuai dipadankan dengan apa jua baju. Bagi yang menggemari tudung kontemporari, pilihlah fabrik organza untuk lapisan luar bagi menggayakan fesyen bertudung al-Waheeda.

Pilih tudung yang bersesuaian dengan bentuk muka
Pemilihan rekaan tudung dan jenis fabrik yang betul adalah penting untuk menampilkan wajah anda. Sebagai contoh, jika bentuk muka anda terlalu bulat, pilihlah anak tudung yang diperbuat dari bahan yang lebih anjal supaya ukuran kepala tidak kelihatan bertambah. Gabungkannya dengan selendang pashmina nipis atau pashmina mini bagi menampakkan bentuk muka yang lebih memanjang.Elakkan juga daripada memakai tudung yang bercorak penuh kerana akan menampakkan wajah yang tidak terurus dan penuh. Sebaiknya pakailah tudung bercorak kecil.

Corak dan warna
Corak dan warna tudung hendaklah sesuai dengan baju yang dipakai. Padanan corak dan warna yang betul akan menyerlahkan lagi penampilan anda. Sesekali pilihlah tudung berbunga besar, dipadankan dengan baju kurung atau kebaya yang berwarna garang dan polos.

Warna pastel untuk semua. Jika tersalah pilih warna pastel, kita akan kelihatan ‘jengkel’ dengan apa jua pakaian yang digayakan. Elakkan juga daripada memakai tudung sedondon dengan warna baju. Bagi baju yang mempunyai corak atau floral yang berwarna, pilih warna tudung yang paling sedikit yang terdapat pada baju.

Pakailah tudung kosong yang berwarna cerah misalnya merah jambu, biru, kuning dan sebagainya. Warna ini akan menampakkan diri anda seorang yang ceria, lembut dan berkeyakinan tinggi. Elakkan memakai tudung berwarna gelap dan kusam kerana ia akan menampakkan anda sudah berusia. Bagi mereka yang kurus, pemilihan warna gelap atau garang dengan corak yang agak besar boleh menyeimbangkan penampilan anda.

Bagi yang mempunyai kulit kuning langsat, gayakan tudung dengan himpunan dari warna biru, lavender dan pink. Wajah nampak lebih menonjol dan terserlah. Elakkan warna hijau dan kuning kerana ia membuatkan wajah tampak kusam. Bagi yang mempunyai warna kulit putih, gayakan tudung dengan warna hijau, ungu, dan lavender. Ia membuatkan wajah kelihatan lebih segar. Warna merah jambu akan membuat wajah bertambah pucat. Kulit sawo matang sesuai dengan warna hijau dan kuning agar tampak lebih terang. Elakkan warna kelabu dan yang agak gelap, agar wajah tidak kelihatan kusam.

Kemaskan tudung anda dengan aksesori
Gunakanlah aksesori seperti kerongsang dan sebagainya untuk menambahkan nilai elegan atau moden kepada penampilan anda. Pastikan tudung dikemaskan di bawah kerongsang selepas pinkan tudung. Ini bagi mengelakkan lilitan tudung nampak menggelembung.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.